Image

In The News

JOURNALS, PUBLICATIONS, INTERVIEWS AND TALKS

Pelestarian ketika krisis, utamakan 3 perkara

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memberi keutamaan kepada tiga perkara dalam usaha mencapai pelestarian ketika negara berdepan pelbagai krisis yang melanda sejak 10 tahun kebelakangan ini, termasuk permasalahan sekuriti makanan, rantaian bekalan, perubahan iklim serta pandemik COVID-19.


Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata pendekatan pertama ialah berusaha menangani suatu krisis itu secara bersama dengan isu lain supaya lebih mudah untuk diselesaikan.


Seterusnya, beliau berkata, langkah terbabit perlu dilakukan secara pragmatik serta berperingkat bagi mengelak sebarang kejutan, dengan turut mengambil kira pelaksanaan suatu dasar dan kesan di sebaliknya. Sebagai contoh, katanya, ada kerajaan negara luar yang pernah mahu menangani isu pelestarian dan mewujudkan dasar mengharamkan penggunaan baja kimia dalam pertanian.

Bagaimanapun, beliau berkata, dasar yang dibuat secara mendadak itu menyebabkan produktiviti pertanian negara berkenaan dilaporkan jatuh hingga 20 peratus, sekali gus terpaksa mengimport bahan makanan. "Malah, keadaan itu menyebabkan perbelanjaannya telah melebihi penjimatan yang sebelum ini dapat dibuat ketika menggunakan baja kimia.

"Mungkin ia (dasar terbabit) adalah suatu hasrat murni, namun jangan melakukan sesuatu tanpa perancangan betul yang akhirnya memberi kesan tidak dijangka," katanya ketika menjadi panel dalam webinar bertajuk Pelestarian Ketika Situasi Krisis, hari ini. Webinar itu dianjurkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bersama Harvard Business School Alumni Club Malaysia dan Sunway Centre for Planetary Health, Sunway Universiti Malaysia.


Seorang lagi ahli panel pada webinar itu ialah Profesor dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health, Sunway Universiti Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, manakala Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang bertindak sebagai moderator. Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata, perkara ketiga yang perlu diberi penekanan dalam usaha mencapai pelestarian ketika situasi krisis ialah mengadakan pendekatan menyeluruh. Misalnya, beliau berpendapat jika usaha yang mahu dilakukan adalah untuk mengatasi isu inflasi, maka tidak perlu menyebut mengenai isu mahu menurunkan harga barangan keperluan. "Yang lebih penting ialah melihat keperluan meningkatkan pendapatan rakyat seperti dasar buruh, gaji minimum dan pertumbuhan industri. Ini kerana adalah perlu untuk melihat aspek lain yang boleh mencapai pelestarian," katanya.


Sementara itu mengulas isu sama, Dr Jemilah berkata, negara mempunyai pelbagai dasar ketika ini tetapi banyak yang dilihat tidak dikuatkuasakan dengan baik. Justeru, beliau berkata, adalah penting untuk memahami dasar sedia ada dan melaksanakan penguatkuasaan dengan baik. "Selain itu, kerjasama daripada semua pihak juga penting, termasuk aktivis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti. Semua pihak ada hak untuk memberitahu kerajaan apa yang betul dan apa yang salah. "Kerajaan juga tidak sepatutnya 'sepikan' suara pihak yang tidak berpuas hati mengenai suatu isu, kerana mereka (berkemungkinan) lebih tahu apa yang berlaku dan boleh memberitahu lebih banyak maklumat terperinci. Ini kerana kadang-kadang apa yang tertulis, tidak sama dengan apa yang sebenarnya berlaku," katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, semua tindakan terbabit perlu bermula dengan usaha daripada diri sendiri terlebih dahulu, iaitu bagaimana mencari mekanisme untuk membuat laporan yang boleh diambil tindakan sewajarnya. Sebagai contoh, katanya, ada pihak yang mengimport plastik tetapi gagal menguruskan bahan buangan itu dengan baik dan hanya mengambil jalan mudah dengan membakarnya. "Dalam kes sebegini, pihak berkenaan bukan saja mengeluarkan sampah yang banyak, tetapi pada masa sama mengakibatkan pengeluaran toksik hasil pembakaran yang dilakukan. "Oleh itu, perlu tahu bagaimana untuk membuat aduan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. Jangan ada dasar dan undang-undang sahaja tetapi tiada tindakan," katanya.

Image
Image
Image

Resources

Copyright © 2026 SUNWAY UNIVERSITY (200401015434 (653937-U)) (DU025(B)). Project by Dreamztech Web Design.